Sabtu, 15 Maret 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » Taufan Usagi Membadai Filipina Taiwan

Taufan Usagi Membadai Filipina Taiwan


MANILA – Taufan Usagi membawa hujan lebat dan angin kencang ke Filipina dan Taiwan semalam dengan menumbangkan pokok, mencetuskan ombak gergasi dan memutuskan bekalan elektrik.

Taufan berkenaan merupakan ribut paling kuat pernah melanda rantau Asia sepanjang tahun ini.

Usagi membadai Kepulauan Batanes di utara Filipina selama semalaman sebelum menyebabkan banjir di sebuah kampung di Taiwan dan memaksa penerbangan Hong Kong, Cathay Pasific membatalkan semua penerbangannya.

“Ini merupakan taufan paling kuat yang melanda Kepulauan Batanes dalam tempoh 25 tahun,” kata seorang pegawai tempatan, Dina Abad.

“Deruan angin melanda pada tengah malam dan menyebabkan ombak setinggi 8 meter yang menenggelamkan bot-bot nelayan,” tambahnya.

Menurut pegawai berkenaan, banyak pokok kelapa patah atau tumbang ditiup angin manakala menara kawalan lapangan terbang di kepulauan tersebut rosak teruk.

Setakat pukul 5 petang semalam, Usagi berada 160 kilometer ke barat Batanes dengan membawa tiupan angin selaju 210 kilometer sejam.

Menurut biro kaji cuaca di sini, taufan berkenaan bergerak menuju ke selatan China.

Di daerah Pintung, Taiwan, ribut itu menyebabkan banjir di sebuah kampung di pulau itu sekali gus memaksa pihak tentera memindahkan berpuluh-puluh penduduk.

Pusat Operasi Kecemasan di Taiwan menyatakan, enam orang cedera di Pulau Kinmen akibat ditimpa pokok-pokok tumbang.

Taufan itu turut menyebabkan 45,000 kediaman terputus bekalan elektrik manakala bekalan air ke 5,000 isi rumah juga tergendala.

Usagi dijangka melanda kawasan pantai di wilayah Guangdong, Zhejiang dan Fujian di China hari ini.

Terdahulu, hampir 23,000 bot nelayan berlindung di wilayah Fujian menjelang ketibaan ribut dahsyat itu.

Pihak berkuasa turut memindahkan lebih 4,000 orang yang tinggal di kawasan pesisir pantai berkenaan. – AFP

Tidak ada komentar:

Posting Komentar